Sunday, 9 February 2014

Pertemuan dengan seorang penagih

Assalamualaikum. Dah solat subuh? Alhamdulillah. Nenek berasa senang untuk berkongsi cerita tentang seorang anak muda yang  mendapatkan rawatan dengan nenek. Pemuda itu berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air.
     Sudah beberapa kali kakak pemuda itu yang nenek kenal kerana pernah beberapa kali berjumpa nenek menyuarakan hasrat untuk membawa adiknya ke rumah nenek. Katanya dia tak sanggup lagi melihat keadaan adiknya yang telah mula bertindak kasar dengan orang tua mereka. 
     Diizinkan Allah pada petang minggu itu kami bertemu. Pemuda itu lingkungan usia awal dua puluhan dan anak tunggal lelaki dalam keluarga tersebut. Nenek diberitahu pada awalnya anak muda itu tidak mahu bertemu nenek, tapi setelah dipujuk kononnya sekadar menziarahi dan bertemu seorang kenalan kakaknya dia bersetuju.
     Petang itu pertama kali nenek bertemu dengannya dia agak malu-malu dan kurang berbicara. Mungkin disebabkan pendekatan nenek, lama-lama dia semakin mesra dan rajin bercerita tentang dirinya. Tanpa mendedahkan bahawa nenek telah tahu siapa dia dan penglibatannya dengan penagihan ganja nenek dapat mendorongnya untuk membuat pengakuan tentang perkara tersebut.
     Di hadapannya orang tuanya dia mengaku dia ada menyorokkan bekalan ganjanya di sebuah gobok buruk di rumah mereka. Satu pengakuan yang mengejutkan keluarganya yang selama ini tidak tahu di mana dia mendapat dan menyimpan bekalan najis dadah itu. 
     Dia mengaku pada nenek dia mula terlibat dengan ganja kerana pengaruh kawan-kawan. Dia menangis. Menurutnya di rumah ibu kuat berleter, dia tak tahan lalu kawan-kawan menjadi tempat mencari ketenangan.Katanya dia sayangkan bapanya yang baik dan selalu memberi sokongan walaupun tahu dia menagih. Dia cuba untuk berhenti tapi dorongan ketagihan dia tidak mampu.
     Nenek pujuk dia. Barulah nenek menjelaskan bahawa sebenarnya nenek ingin merawat ketagihannya.Berbekalkan buah kelapa muda yang nenek pesan dengan bacaan ayat-ayat al Quran nenek nenek beri dia munum. Tiba-tiba dia termuntah. Agak lama menyebabkan dia cukup lemah.
     Sebelum pulang nenek titipkan beberapa pesanan untuknya. Nenek bekalkan air untuk diminum. Harapan nenek semoga ketagihannya akan berakhir.
     Beberapa bulan berlalu, kakaknya memberi khabar gembira akan perubahan sikapnya. Tidak lagi mengasari dan memaki-maki ibunya. Nenek masih ingat, padanya nenek mengingatkan akan dari mana datangnya kita kalau bukan dari seorang ibu yang sanggup  bersusahpayah mengandung dan merawat sedari kecil.
     Beberapa kali nenek katakan bahawa kasih seorang wanita akan dilihat dari pengucapannya. Tutur katanya, leterannya menunjukkan betapa dia mengambilberat pada orang disekelilingnya. Tapi seorang ayah, kasihnya tidak diucap di bibir. Menyediakan keperluan makan minum  pakaian dan tempat tinggal  itulah lambang kasih dan rasa tanggungjawab seorang ayah. Nenek percaya dia mulai mengerti  akan dalamnya kasih  seorang ibu. 

Saturday, 8 February 2014

Gadis Yang Hilang

     Assalamualaikum, jumpa lagi senja ini.
     Kali ini nenek nak berkongsi cerita tentang satu kes yang pernah tersiar di dada akhbar tempatan suatu ketika dahulu.
     Sejauh ingatan nenek, peristiwa berlaku pada tahun 2011, seorang gadis dilaporkan hilang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah jabatan kerajaan di negara ini.
     Wajah gadis itu terpampang di dada akhbar tapi sayang masih tidak ditemui.
     Seorang wanita muda datang berjumpa nenek. Dia meminta tolong bagi pihak keluarga gadis ini yang rapat dengannya. Dia meminta nenek ikhtiarkan bagaimana nak cari gadis ini. Kedua ibu bapanya amat bimbangkan keselamatannya.
     Gambar gadis itu ditunjukkan kepada nenek beserta namanya. Nenek tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya nenek katakan bahawa mudah-mudahan Allah s.w.t melindungi gadis itu.
     Pada pengamatan nenek, setelah dibacakan al Fatehah , nenek dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena  tentang kehilangan gadis ini.
     Nenek mula menyelidiki latarbelakangnya. Dikhabarkan dia lari mengikut teman lelaki. Tapi nenek tidak percaya. Pada pandangan nenek dia dilarikan oleh teman lelakinya dan disorokkan di sebuah rumah. Nenek melihat ada beberapa orang lelaki berkulit gelap keluar masuk rumah itu....dan nenek menangis. Sebagai seorang ibu hati nenek tersentuh, remuk di hati nenek , hanya Allah yang tahu.
     Wanita itu bertanya mengapa nenek menangis? Nenek menjawab nenek akan cuba membantunya keluar dari rumah itu. Nenek berpesan berjanjilah dengan nenek, kalau gadis itu pulang , janganlah  ditanya apa-apa. Anggaplah segalanya sudah selesai.
     Dari penyelidikan nenek, gadis itu ke tempat kerja dengan membawa sejumlah barang kemas anggaran rm 9 ribu . Nenek tahu, teman lelakinya telah mengugut gadis itu untuk menyerahkan sejumlah bayaran untuk tidak mendedahkan rakaman video lucah mereka, Gadis itu sanggup berbuat apa sahaja kerana rasa takut maruah akan tercemar     Tapi sayang, lelaki berhati iblis itu bukan sahaja merampas semua barang kemasnya malah telah menjualnya kepada lelaki lain. Sebak hati nenek.
     Dengan izin Allah, gadis itu dilepaskan akhirnya. Pesanan nenek mereka patuhi (tidak akan bertanyakan misteri kehilangannya). Tujuan nenek berbuat begitu supaya gadis ini diberi ruang untuk bertenang dan memulihkan emosinya. Sudah pasti dia sangat trauma dengan  kejadian itu.
     Pesan nenek kepada remaja di luar sana dan yang sedang berkasih, jagalah kehormatan diri.  Jangan mudah membiarkan lelaki-lelaki durjana merakam sebarang aksi yang melibatkan maruah diri. Sementelah suami ataupun isteri. Dalam dunia canggih IT ini, segalanya boleh terjadi. Syukur nenek ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan anak cucu nenek diberi hidayah dan dilindungiNya.

Wanita hamil dan tiga makhluk misteri

Tak kenal saya ke? ujar seorang wanita muda yang mengendong bayinya.Nenek termangu-mangu. Sayalah orang yang nenek rawat dulu. Saya dah sihat dan ini anak saya. Puas nenek mengingati wajah itu , jauh berbeza.  Di depan nenek kini wanita dengan tubuh besar berisi dan anak yang sama montel seperti ibunya.
       Anak saya ni jadi anak angkat nenek ya! Pertemuan pagi itu sungguh membahagiakan hati  nenek..Syukur ke hadrat Allah s.w.t yang mengkabulkan doa nenek.
       Kepada yang muda nenek berpesan, berhati=hatilah apabila mengunjungi bidan atau tukang urut. Bertanyalah kepada orang yang lebih tua terutama ibu kerana mereka lebih tahu terutama wanita yang baru lepas bersalin. Khabarnya bidan tua yang pernah dikunjunginya itu telah hampir lumpuh.Mungkin tiada yang sanggup mewarisinya maka dia terpaksa melepaskan makhluk itu kepada yang lain. Bertawakal dan berlindunglah kita kepada Allah s.w.t

Wanita hamil dan tiga makhluk misteri

      Assalamualaikum, sudah lama nenek tak bercerita,begitulah sibuknya nenek.
      Menjelang 2014 ni,lapang sikit rasanya, bolehlah nenek terus berkongsi kisah-kisah benar dalam dunia
  mistik dan rawatan nenek.
      Bulan Julai 2013, dua minggu sebelum hari raya, nenek dapat panggilan telefon dari seorang kenalan, katanya ada orang kampungnya dari Pahang nak jumpa nenek.Oklah nenek tak kisah, dan terima siapapun.
      Malam tu nenek tertunggu-tunggu juga sampai lewat malam masih tak tiba. Tak jadi agaknya, fikir nenek.
Menjelang jam dua pagi,sebuah kereta sampai.Nenek buka pintu walau dah lewat.Sebaik pintu dibuka, se-
orang wanita sarat hamil, lingkungan usia dua puluhan, muncul dipapah oleh seorang lelaki pertengahan usia.
Seorang lelaki mengekori mereka.
     Dengan perut yang sarat membuyut, wanita itu kurus dan lemah. Tangannya menjinjing sebuah bakul sampah.Sambil menjemput mereka duduk, nenek bertanya apa tu?  Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai bapa wanita itu membuka cerita. Beginilah anak saya, dia muntah darah sejak mula mengandung,dah puas mendapat rawatan doktor dan cara kampung tapi masih macam ni.
     Rupa-rupanya dia sentiasa membawa bakul untuk dia muntah.Dalam bakul ada ketulan-ketulan darah. Dengan nada perlahan dan lemah , wanita muda itu bercerita. Ini bukan kali pertama Sejak hamil anak kedua dia melalui peristiwa ini. Sepanjang kehamilan anak kedua, dia muntah darah. Yang anehnya, sebaik anak itu
lahir, bayi itu meninggal dunia, dan dia akan sihat seperti biasa.Menurutnya dia dah tak sanggup lagi melalui keadaan itu, rasa lemah tidak bermaya dan rasanya hidup baginya tidak lama.
     Bersimpati dengan ceritanya, nenek memberi sokongan bahawa hidup ini segala-galanya kita serah kepada Allahs.w.t.Jangan mudah berputus asa. Allah sentiasa bersama orang yang sabar dan jangan lupa terus berdoa bahawa akan ada jalan penyelesaian bagi setiap dugaan yang ditempuhi. Usaha ,ikhtiar dan doa.
     Nenek beri dia minum air yassin.Beberapa lama kemudian,dia  agak bertenaga untuk terus bercerita.Katanya, dalam keadaan begini mujur masih ada ibu dan ayah, kerana hubungan dengan suami agak renggang bila dia mula berkeadaan begini.
     Setelah membaca al Fatehah, nenek mula melihat apa yang terjadi.Dengan kebesaran Allah s.w.t yang memberi kelebihan pada nenek untuk melihat apa yang berlaku pada tubuh wanita ini, nenek terkejut lalu bertanya.Ada berurut dengan sesiapa ke sebelum ini? Sebabnya nenek melihat ada tiga makhluk di dalam
tubuhnya. Pada pengamatan nenek  makhluk-makhluk ini memakan darah.
     Sebagai jalan penyelesaian untuk menghalau makhluk-makhluk tersebut, nenek mandikan dia dengan air yassin supaya makhluk-makhluk itu berasa panas. Wanita itu bercerita lagi, selepas melahirkan anak pertama, ketika bayi itu berusia lima bulan,rakannya membawa dia berurut dengan seorang bidan tua di daerah nenek.Sejak dari itu anaknya mulai kerap tidak sihat sehinggalah kejadian malang itu menimpanya. Dia terpaksa berhenti kerja,apabila keadaan bertambah buruk.Suami pula mula menjauhkan diri.
     Nenek memberi keyakinan kepadanya bahawa Allah masih ada dan bersama dengannya..Disaat-saat begini, Allah adalah segalanya, dan sebaiknya Dialah tempat kita bergantung.
     Disebabkan dua minggu lagi dia dijangka akan melahirkan anak, nenek memberinya pesan supaya dalam tempoh itu dia tidak mengambil sebarang makanan yang berdarah seperti ikan dan daging.Dalam tempoh itu juga dia minum air yassin yang nenek bekalkan. Menjelang subuh ,dia meninggalkan rumah nenek dengan iringan doa dari nenek semoga dia tabah, dilindungi Allah dan yang penting semoga peristiwa ini merapatkan hubungannya dengan Yang Mencipta.
     Masa terus berlalu,nenek dengan tanggungjawab nenek seperti biasa..
 .  Empat bulan kemudian,nenek didatangi tetamu wanita yang tidak dikenali,bersama keluarganya.Disebabkan tetamu nenek silih berganti nenek hampir tidak mengingati wajah mereka.